PETALING JAYA – Bimbang melihat isu penyondol membabitkan pasangan selebriti, penyanyi Marsha Milan mengakui situasi itu mengganggu emosinya berikutan kerap berjauhan dengan suami atas tuntutan kerja.
Ujar Marsha atau nama lengkapnya Marsha Milan Londoh, 38, sebagai wanita berstatus isteri dia memahami perasaan insan sejenis namun enggan terlampau lantang melontarkan pandangan apatah lagi melemparkan kutukan terhadap mana-mana pihak.
“Saya sebenarnya kalau boleh tak nak ‘too loud’ bercakap tentang isu penyondol sebab kita sendiri ada perkahwinan yang perlu dijaga. Nak cakap lebih saya tak berani, bimbang orang lain kurang senang.
“Sebagai wanita bekerja, agak merisaukan juga sebab selalu tiada di rumah disebabkan komitmen kerja sehingga membuatkan saya kadangkala agak tertekan.
“Tapi walaupun sibuk dengan kerja kita ambil langkah berjaga-jaga selain banyak berkomunikasi dengan suami, ambil tahu keadaan masing-masing dan amalkan prinsip percaya antara satu sama lain,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bagi menghangatkan hubungan, sejak 10 tahun mendirikan rumah tangga dia dan suami, Mohamed Shaiful Nizam Ismail, 37, sentiasa
mencari peluang memperuntukan masa berdua.
“Memang kami selalu cari peluang keluar bersama-sama atau sekadar duduk di rumah menghabiskan waktu senggang sebab mahukan masa berkualiti.
“Pokok pangkalnya adalah hati, doa dan tawakal agar kita dijauhkan anasir jahat dalam rumah tangga. Kita cuma boleh berdoa untuk diri dan kawan-kawan.
“Alhamdulillah, saya tak pernah berdepan situasi cubaan suami disondol sebab dia seorang ‘family man’, tidak suka berjalan, selalu ‘lekat’ di rumah,” katanya ketika ditemui pada majlis tandatangan rakan strategik antara Alternate Records dan Universal Music Malaysia, baru-baru ini.
Pada masa sama, pelantun lagu Cinta itu mengakui prinsip percaya juga membuatkan dia dan suami tidak memeriksa telefon bimbit masing-masing.
“Tiada keperluan pun periksa mesej atau panggilan di telefon suami kerana perkara sebegitu lebih menggandakan rasa curiga sendiri. Jadi tidak perlu,” ujarnya.
Marsha dan suami mendirikan rumah tangga pada 2015, namun belum dikurniakan cahaya mata. – KOSMO! ONLINE