TEMERLOH – Negeri Sembilan akhirnya memperoleh kemenangan sulung di Liga Super musim ini apabila menewaskan Sri Pahang 2-0 pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.
Sebaliknya buat Tok Gajah yang seakan dilanda krisis prestasi apabila berdepan situasi kemarau kemenangan dalam empat aksi terakhir termasuk ditewaskan Penang FC di pentas Piala FA.
Terdahulu, Negeri Sembilan memperoleh gol pembukaan pada minit ke-24 menerusi R. Barathkumar yang bertindak pantas menyambut sepakan percuma Takumi Sasaki dari sebelah kanan gawang tuan rumah.
Memasuki minit ke-40, Sri Pahang berpeluang menyamakan kedudukan namun kesempatan menerusi sepakan penalti gagal disudahkan dengan lebih baik oleh Stefano Brundo.
Sri Pahang melakukan perubahan di babak kedua namun sekali lagi peluang yang dicipta gagal disudahkan dengan lebih baik untuk menghadirkan gol penyamaan.
Kesilapan kapten Sri Pahang, Fadhli Shas yang mengasari Hein Htet Aung terus menamatkan sisa perjuang Sri Pahang apabila pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri yang melakukan penilaian semula di Video Bantuan Pengadil (VAR) ambil keputusan untuk menghadiahkan penalti dan kesempatan pada masa kecederaan itu tenang disempurnakan oleh Sasaki. – KOSMO! ONLINE