JOHOR BAHRU – Mangsa kemalangan langgar lari ketika sedang bertugas di Lebuhraya Pasir Gudang semalam sehingga terpaksa dipotong tangannya menerima kunjungan pendakwah popular, ustaz Ebit Lew.
Lawatan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini itu dimuat naik pendakwah tersebut di laman Facebook rasmi miliknya, hari ini.
Menurut beliau, kunjungan itu dibuat pihaknya sejurus selepas selesai memberi ceramah di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Muar.
“Sayu sebak selepas ceramah di Maktab PDRM Muar terus ke Hospital Sultan Ismail ziarah pakcik kerja penyelenggara jalan yang dilanggar di Lebuhraya Pasir Gudang.
“Tangan kanannya dipotong. Ziarah beri semangat dan sedikit sumbangan,” tulisnya ringkas dalam kenyataan itu.
Mangsa, Mohd. Sis Latif, 55, kini sedang dirawat di HSI setelah mengalami kecederaan parah akibat kemalangan yang berlaku pada pukul 11.50 pagi, semalam.
Ketika kejadian, mangsa bersama dua rakan sedang berdiri di atas platform hidraulik di bahagian belakang lori bagi membaiki jalan berlubang di laluan berkenaan.
Secara tiba-tiba, lori berkenaan dirempuh sebuah kenderaan dari arah belakang menyebabkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di tangan kanannya.
Menurut kenyataan itu lagi, Mohd. Sis turut memberitahu dia merasakan seperti masih mempunyai tangan dan mahu menggerak jarinya.
“Pakcik ni menangis tadi. Katanya, terasa macam ada tangan lagi. Rasa macam nak gerakkan jari. Pakar minta abang selalu usap tangan tu, dan cakap tangan dah tiada. Allah ambil. InsyaAllah nanti Akhirat semuanya sempurna,” menurut kenyataan itu.
Ebit turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada Mohd. Sis selain turut mendoakan kesejahteraannya.-K! ONLINE