KOTA TINGGI – Tiada halangan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan dalam pemilihan UMNO pada tahun 2026 namun perlu berlangsung secara sihat dan tiada perpecahan dalam parti.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau sendiri sedia mempertahankan jawatannya sekiranya kedua-dua jawatan tersebut dipertandingkan.
“Saya akan pertahanankan (jawatan Timbalan Presiden UMNO), kita akan ‘bersilat’ sama-sama, kalah atau menang itu adat pertandingan dan biasa diamalkan dalam demokrasi yang sihat.
“Ini termasuk juga jawatan lain seperti di peringkat cawangan parti. Ini (pemilihan parti) untuk memantapkan dan memperkasakan parti terutama organisasi tersusun seperti UMNO.
“Untuk itu, pilihlah yang terbaik daripada yang baik-baik. Terpulang kepada perwakilan untuk buat pemilihan agar parti terus menjadi sebaik mungkin untuk berdepan PRU (pilihan raya umum) atau PRN (pilihan raya negeri),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Sri Sayong, Felda Sungai Sayong di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE