NEW DELHI – Sebuah restoran di India mengundang perhatian orang ramai selepas melancarkan hidangan ‘ayam tandoori’ berwarna merah jambu, lapor saluran berita NDTV Food semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @konkanfusion.airoli, ayam tersebut diperap dan digaul dengan perapan berwarna merah jambu.
Cef kemudian meletakkan ayam itu di dalam tandoor iaitu ketuhar diperbuat daripada tanah liat, sehingga ia dipanggang dengan sempurna.
Lebih menarik apabila hidangan itu dihidangkan dengan limpahan sos merah jambu, berserta beberapa sos celupan yang lain.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan menerima lebih 2.5 juta tontonan, serta 37,400 tanda suka.
“Keadilan buat ayam!” kata seorang pengguna laman sosial.
“Ayam Barbie-q,” kata netizen lain. – AGENSI