SEPANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri tidak mahu pendakwah selebriti terpalit dengan isu pencabulan.
Beliau berkata, isu itu boleh mencemarkan agama dan mengundang kontroversi khususnya jenayah dan berharap tiada lagi kedengaran sebarang isu sedemikian membabitkan pendakwah.
“Tolonglah jaga, termasuk diri saya. Saya tak mahu dengar pencabulan. Nikah dua, nikah tiga, nikah empat tak mengapa.
“Tapi cabul ini, Allah. Nak ulang perkataan itu pun tak sedap bunyinya. Kalau yang ustaz dengan gambar-gambar sekali. Kalau ustaz dua minit kita tahu dah siapa (pelakunya),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Tausiyah bersama kira-kira 50 pendakwah selebriti di Movenpick Hotel Covention Centre di sini hari ini.
Mengulas lanjut Zulkifli berkata, para pendakwah selebriti perlu saling menasihati antara satu sama lain.
“Salah satunya dalam majlis seperti ini di mana apabila kita bersama dekat satu sama lain, ingat mengingat, maka di situ kita harap sinar 2021 tidak akan kita dengar lagi sebarang isu konflik seperti ini.
“Saya juga sering mengingatkan diri saya untuk bekerja semata-mata kerana Allah demi mengangkat agama Islam di samping memberi kefahaman sejelasnya kepada khalayak.
“Jadi penyatuan selebriti-selebriti amat perlu dari segi fikrah demi hala tuju ke arah yang jauh lebih baik,” katanya. -K! ON;INE