BEIJING – Seorang wanita cantik di China mendedahkan nasibnya yang sukar bertemu teman lelaki yang sesuai disebabkan keadaan fizikalnya, lapor saluran berita Odditycentral kelmarin.
Wanita bernama Xiao Mai itu berusia 25 tahun dan memiliki ketinggian 226 sentimeter (7 kaki, 5 inci). Dia berasal dari wilayah Heilongjiang di China.
Menurut Xiao Mai, ketinggiannya menakutkan ramai lelaki untuk menjadikan dia sebagai calon pasangan hidup.
Susulan itu, dia nekad memperkenalkan dirinya menerusi klip video di media sosial kerana tidak mahu berputus asa.
Idea menyiarkan penampilan sulung itu datang daripada ibu Xiao Mai sendiri. Dia mendapat inspirasi daripada klip video memaparkan seorang gadis dari Shanghai yang melamar teman lelakinya secara online.
Ibunya memutuskan untuk menggunakan teknik serupa demi mendapatkan jodoh buat anak perempuannya, di samping merayu kepada penonton untuk mencadangkan teman lelaki yang sesuai.
Selepas video itu menjadi tular, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba muncul di Heilongjiang dan meminta untuk bertemu dengan Xiao Mai.
Lebih mengejutkan, keluarga itu mendapat kunjungan daripada orang ramai dari seluruh negara yang ingin bergambar bersama Xiao Mai.
Xiao Mai berkata, kebaikan orang ramai telah membantunya menjadi lebih yakin mengenai ketinggian dimilikinya.
Ketinggian Xiao Mai dilaporkan mencecah 180 sentimeter semasa mula memasuki usia remaja. – AGENSI