JOHOR BAHRU – Terdapat 25 sungai di negara ini yang diklasifikasikan sebagai tercemar dan sembilan daripadanya adalah berada di Johor.
Kesemua sungai yang tercemar terletak dalam daerah ini iaitu Sungai Danga, Sungai Buluh, Sungai Tukang Batu, Sungai Kempas, Sungai Segget, Sungai Pandan, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sungai tercemar itu berada dalam pengkelasan kualiti air sungai (IKA) kelas tiga dan empat yang berpunca daripada pelbagai aktiviti termasuk aktiviti perindustrian dan loji kumbahan.
Sehubungan itu, katanya, usaha-usaha untuk memelihara sungai kita perlu digerakkan secara agresif di peringkat akar umbi dan tidak bergantung terhadap tindakan dan modus operandi penguatkuasaan semata-mata.
“Keempat-empat anak Sungai Tebrau iaitu Sungai Pandan, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi mencatatkan kualiti yang membimbangkan dengan faktor pencemaran daripada kumbahan selain daripada industri, sektor komersial dan kerja tanah.
“Memang kita akui cabaran di Johor ini adalah untuk membersihkan sungai-sungai ini, di sinilah komuniti perlu main peranan masing-masing untuk bersama-sama menjaga kebersihan sungai kita,” katanya kepada pemberita selepas Program Ceriakan Sungai Tebrau, di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berharap usaha itu dapat diteruskan kerana usaha menggerakkan para sukarelawan untuk bergotong-royong membersihkan sungai memenuhi hasrat tema Sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Kebangsaan 2024 yang akan diadakan pada bulan September nanti. – KOSMO! ONLINE