fbpx

Euro 2024: De La Fuente sedar ancaman England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DE LA FUENTE enggan Sepanyol terlalu dibuai kehebatan selepas mereka mencatat kemenangan bersih pada kempen kali ini sebaliknya percaya England mampu memberi ancaman besar. - AFP

BERLIN – Pengendali Sepanyol, Luis De La Fuente memberi amaran kepada pasukannya mengenai ‘bahaya’ yang mampu dihadirkan oleh lawan mereka, England pada aksi final Euro 2024 di Olympiastadion, Berlin awal pagi esok.

Biarpun Sepanyol dianggap sebagai pasukan pilihan selepas mencatat kemenangan bersih sepanjang kempen kali ini, namun De La Fuente sedar mengenai kekuatan England ketika pasukan itu menewaskan Belanda di separuh akhir.

Kedua-dua negara melalui pengalaman berbeza menempah slot final kali ini apabila Sepanyol menang kesemua enam perlawanan termasuk menundukkan Croatia, penyandang juara Itali, tuan rumah Jerman serta Perancis.

England pula sebaliknya apabila berdepan kritikan ekoran persembahan kurang menyengat di peringkat kumpulan serta memerlukan masa tambahan serta sepakan penalti ketika menewaskan Slovakia pusingan 16 terbaik dan Switzerland di suku akhir.

“Sebelum kejohanan bermula, England dan Perancis diletakkan sebagai pilihan juara bersama Jerman yang memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Kemudian kami menggunakan peluang yang ada untuk menewaskan beberapa pasukan pilihan tersebut dan sekarang kami akan berdepan satu perlawanan yang paling besar. Mungkin kami diiletakkan sebagai pilihan kerana prestasi yang telah kami buktikan.

“Bagaimanapun, kesemua itu tidak akan mempengaruhi persembahan kami pada aksi final itu nanti. England mempunyai pemain berkualiti yang boleh dipersembahkan pada bila-bila masa. Kami akan berdepan sebuah pasukan yang sangat kuat dan berpengalaman.

“Ia bakal menjadi aksi yang sukar. Namun, kami tidak sabar untuk berdepan perlawanan itu nanti. Kami memiliki pemain yang sentiasa cuba untuk berjuang memenangi kejuaraan dan mahu terus berkembang,” kata De La Fuente.

Dalam pada itu, De La Fuente juga menjangkakan aksi yang paling hangat menentang England dan bakal memberikan kesan kepada memori para peminat bola sepak apabila 22 pemain yang bakal diturunkan memiliki kemampuan individu luar biasa.

“Sepanyol dan England memiliki cara permainan yang berbeza, ia akan menjadi perlawanan yang menakjubkan untuk disaksikan. Kami tidak sabar dan meletakkan harapan tinggi untuk memenanginya.

“Mereka adalah pasukan yang kuat dari segi fizikal. Kami mahu menunjukkan cara sebenar bola sepak Sepanyol, menguasai permainan dan yang penting tidak melakukan sebarang kesilapan,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI