TAIPING – Dua ekor gajah betina dari Kuala Gandah Pahang didatangkan secara khas ke Bandar Warisan Taiping bagi sambutan Bandar Warisan Taiping ke 150 tahun yang diadakan pada hari ini.
Orang Besar Jajahan (OBJ) Daerah Larut Matang Selama, Datuk Seri Wan Mohd Isa Datuk Wan Mohd Razali berkata, kehadiran dua ekor gajah betina yang bernama Pian dan Rambai bukan hanya menyemarakkan program yang diadakan tetapi turut mengimbau kembali nostalgia Taiping semasa pembukaannya satu ketika dahulu.
“Taiping mula pesat membangun apabila gajah milik Long Jaafar telah menemui bijih timah yang mana selepas itu menyebabkan Taiping atau dahulunya dikenali dengan nama Klian Pauh yang mula membangun dari segi ekonominya.
“Berdasarkan penghayatan sejarah lalu maka gajah betina, Pian dan Rambai didatangkan secara khas untuk perarakan ini supaya mengembalikan nostalgia peranan gajah sebagai pemula pembangunan Taiping.
“Gajah juga merupakan simbol untuk golongan kaya atau orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan gajah turut digunakan sebagai alat pengangkutan pada masa itu,” katanya selepas menghadiri Program Perarakan Komuniti Taiping di Dataran Warisan Taiping disini hari ini. – KOSMO! ONLINE