PARIT BUNTAR – Tindakan mengenakan syarat kepada pengguna sebelum membenarkan minyak masak peket 1 kilogram (kg) dibeli mengundang padah terhadap sebuah kedai runcit di pekan Alor Pongsu di sini.
Ini kerana kira-kira pukul 10.30 pagi semalam, premis perniagaan tersebut diserbu oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Cawangan Parit Buntar.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan penguatkuasaan itu adalah ekoran satu aduan daripada orang awam berhubung pembelian bersyarat ke atas barang kawalan minyak masak peket 1kg di sebuah kedai runcit di pekan tersebut.
“Penguat kuasa KPDN Parit Buntar telah menjalankan uji beli melalui Ops Samar di premis tersebut dan mendapati dakwaan pengadu adalah berasas apabila mendapati pihak peniaga telah mengenakan syarat pembelian dengan membeli barangan lain terlebih dahulu untuk mendapatkan barang kawalan minyak masak peket 1kg.
“Susulan kenyataan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa beruniform kemudiannya telah masuk ke dalam premis dan telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis terbabit,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di ruangan simpanan dan rak jualan mendapati sebanyak 164kg minyak masak peket berada dalam simpanan premis.
Berikutan penemuan tersebut, Kamalludin berkata, satu arahan pengistiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia premis.
“Sebanyak 164kg minyak masak paket yang ditemui telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM410.
“Kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan seseorang selain dari badan korporat boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
“Bagi mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap akta ini apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE