SEOUL – Seorang pencipta kandungan melahap makanan ‘mukbang’ di Korea Selatan mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan dan peras ugut oleh bekas teman lelakinya selama bertahun-tahun, lapor sebuah laman berita kelmarin.
Tzuyang atau nama sebenarnya Park Jung-won, 27, mempunyai lebih 10 juta pengikut di laman Youtube.
Dia menjadi terkenal selepas aktif berkongsi videonya menikmati hidangan dalam kuantiti yang banyak.
Peminat Tzuyang terkejut berikutan pendedahan bahawa dirinya sering didera secara fizikal dan mental oleh bekas teman lelakinya pada Khamis lalu.
Lebih teruk, lelaki itu turut memeras ugut wang sebanyak 4 bilion won (RM13.58 juta), hasil penat jerih Tzuyang melakukan ‘mukbang’.
“Dia memukul (teman lelaki) badan saya kerana ia akan terlalu jelas jika saya dipukul di muka,” kata Tzuyang semasa siaran video awal pagi Khamis lalu yang ditonton lebih 2 juta orang.
Menurut peguamnya, kes jenayah telah difailkan terhadap bekas teman lelaki, namun ia ditutup selepas lelaki berkenaan bertindak mengambil nyawanya sendiri.
Sementara itu, hampir 14,000 individu telah didakwa akibat melakukan keganasan domestik pada 2023 di Korea Selatan, demikian menurut data polis.
Jumlah itu meningkat lebih 50 peratus daripada 8,951 pada 2020, meskipun hanya sebilangan sahaja yang ditangkap.
Aktivis-aktivis hak asasi menyeru penggubal undang-undang untuk mengetatkan hukuman dan melindungi mangsa dengan lebih baik. – AGENSI