ALOR SETAR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meneruskan rentak kemenangan apabila mudah menundukkan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 3-0 di Stadium Darul Aman, di sini malam ini.
Serangan dilakukan KDA FC membuahkan hasil pada minit ke-9. Rembatan deras pertahanan kanan mereka, Rizal Ghazali dari dalam kotak penalti, gagal ditepis Muhaimin untuk gol pertama perlawanan.
Memasuki babak kedua, perlawanan berlangsung hambar dengan kedua-dua pasukan kelihatan buntu untuk memasuki kubu lawan selain bola lebih banyak berlegar di tengah padang.
Syafiq Ahmad bagaimanapun secara tiba-tiba melakukan ‘magis’ apabila melepaskan rembatan dari jarak kira-kira 30 meter yang menerjah jaring lawan untuk gol kedua Sang Kenari pada minit ke-58.
Minit-72, giliran pemain sayap, Sony Norde menggegarkan Stadium Darul Aman dengan gol ketiga buat Sang Kenari. Pemain dari Haiti itu yang berseorangan dalam kotak penalti lawan, menerima lorongan cantik dari Milos Gordic untuk dia mudah melakukan tolakan menewaskan penjaga gol pelawat. – KOSMO! ONLINE