fbpx

Olimpik Paris: Zii Jia raih laluan mudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA berada dalam Kumpulan G di Sukan Olimpik Paris 2024 bersama wakil Sri Lanka, Viren Nettansinghe dan juga pemain Sepanyol, Pablo Abian. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia dilihat mempunyai peluang cerah untuk melepasi peringkat kumpulan selepas taruhan pingat emas Olimpik Paris 2024 itu diletakkan sebagai pilihan ketujuh untuk mengetuai saingan Kumpulan G.

Dalam satu undian yang dianjurkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di ibu pejabat badan induk dunia berkenaan, hari ini, Zii Jia akan menentang pemain ranking No. 72 dunia dari Sri Lanka, Viren Nettansinghe dan juga pemain No. 63 dunia dari Sepanyol, Pablo Abian di Kumpulan G.

Selain itu, wakil beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang membuat penampilan sulung Sukan Olimpik Paris turut berpeluang cerah untuk melepasi peringkat kumpulan apabila diundi dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Turut berada dalam kumpulan berkenaan adalah beregu dari Amerika Syarikat (AS), Vinson Chiu-Jennie Gai dan Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky meletakkan kepercayaan tinggi kepada beregu campuran negara itu untuk melepasi peringkat kumpulan.

“Untuk acara beregu campuran, Tang Jie-Ee Wei mempunyai peluang untuk melepasi peringkat kumpulan tetapi itu tidak bermakna perlu diambil ‘ringan’ kerana ada bekas pemain Olimpik.

“Jadi saya rasa Tang Jie-Ee Wei harus lakukan persiapan betul-betul dari segi mental, fikiran dan perkara paling penting ialah jaga kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, wakil beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah pula bakal berdepan laluan berliku di Paris apabila berada dalam kumpulan A yang boleh dianggap kumpulan maut.

Kumpulan itu diketuai pilihan utama, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo dan juga gadingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti serta gadingan ranking No. 6 dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun.

Bagi acara perseorangan wanita, Goh Jin Wei dijadual membuka tirai saingan dalam Kumpulan H bersama Kim Ga Eun dari Korea Selatan dan pemain Afrika Selatan, Johanita Scholtz.

Undian bagi acara beregu lelaki begitupun tidak diadakan pada hari ini apabila Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memutuskan untuk menunda undian tersebut dan bakal diadakan pada satu tarikh yang bakal ditentukan susulan perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI