PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kejadian-kejadian buli siber yang berlaku akhir-akhir ini sehingga mengakibatkan kematian.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut disuarakan oleh Anwar menerusi mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini.
“Beliau telah meminta supaya MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengambil tindakan yang sangat tegas dan kita perlu berusaha untuk menghentikan buli siber daripada berterusan,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Ketika ditanya berhubung mewujudkan akta spesifik berkaitan gejala buli siber, Fahmi berkata, pihaknya akan meneliti keperluan sama ada untuk meminda akta sedia ada seperti Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, atau menggubal akta khusus mengenai buli siber.
“Saya baru maklumkan kepada Kabinet bahawa kita mempunyai beberapa kajian (sebelum ini), tetapi kita belum berada di peringkat yang kita akan mengesyorkan atau akan membawa rang undang-undang (RUU) itu ke Parlimen. Namun, kita masih boleh mengambil tindakan sekarang berdasarkan undang-undang sedia ada dan semasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE