fbpx

Tambang baharu Rapid Mobiliti RM7 di Kuala Lumpur, Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan menyelaraskan perkhidmatan Rapid Mobiliti di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ke kadar baharu RM7, bermula 15 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, kadar tambang baharu RM7 ini adalah untuk dua penumpang bagi setiap tempahan, iaitu seorang penumpang kurang upaya serta pengiringnya.

“Penyelarasan ini akan beri manfaat kepada penumpang sedia ada, selain menarik komuniti berkerusi roda menikmati perkhidmatan ini.

“Selaras dengan kadar tambang baharu ini, Rapid Bas juga memperkenalkan kaedah pembayaran tambang tanpa tunai, di mana para penumpang Rapid Mobiliti boleh membuat pembayaran dengan mengimbas kod QR (Quick Response) yang dipaparkan di dalam kenderaan tersebut.

Namun Muhammad Yazurin menjelaskan, para penumpang masih boleh membayar dengan tunai, sekiranya mereka tidak mempunyai kemudahan kod QR tersebut.

“Kadar tambang baharu ini lebih murah dan berpatutan dengan perkhidmatan yang ditawarkan selaras dengan peningkatan kos sara hidup.

“Ia antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Rapid Bus. Menerusi van yang telah diubah suai menggunakan lif hidraulik, kami akan pastikan golongan sasaran khususnya komuniti berkerusi roda dapat bergerak lebih selesa,” katanya.

Tambah beliau, perkhidmatan itu meliputi kawasan Shah Alam, Kajang, Seri Kembangan, Cheras, Subang Jaya, Petaling Jaya, Ampang, Selayang, Kuala Lumpur bagi Lembah Klang.

“Bagi penumpang di Pulau Pinang, buat masa ini, Rapid Mobiliti hanya ditawarkan untuk kawasan-kawasan di bahagian pulau sahaja,” ujarnya.

Bagi perkhidmatan Rapid Mobiliti di Lembah Klang, ia disediakan setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 7 pagi sehingga 4 petang.

Sementara di Pulau Pinang pula, ia boleh dinikmati pada setiap hari termasuk cuti umum bermula pukul 8 pagi sehingga 9.30 malam.

Bagi tempoh tempahan, tempohnya adalah tiga hari bekerja sebelum perjalanan bergantung kepada kaedah ‘tiba dahulu layan dahulu’. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI