PETALING JAYA – Bawang merah mentah kaya dengan bahan khasiat organosulfur dan flavonoid, tetapi ia akan hilang jika di masak.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Saintis Utama di Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Suri Roowi berkata, bahan itu bersifat antiplatelet dan antikanser terutamana antikanser usus, perut dan kerongkong.
“Kajian ke atas 12 pesakit menunjukkan sifat antiplatelet akan musnah dalam masa tiga dan enam minit selepas bawang dimasak.
“Selepas 10 minit dimasak, bawang itu berubah sifat dan ia merangsang aktiviti platelet (jadikan darah mudah bergumpal),” terangnya.
Katanya, sumber bersifat antiplatelet biasanya digunakan untuk mencegah terjadinya penggumpalan darah.
“Sumber itu boleh digunakan oleh pesakit dengan masalah pembuluh darah tersumbat seperti penyakit jantung koronari dan penderita strok.
“Justeru, makan bawang merah mentah bagus untuk bantu elak penyakit penyakit ini.
“Bawang merah juga tinggi antioksidan dan vitamin C,” jelasnya.
Di samping itu, beliau turut kongsikan khasiat bawang kuning yang tinggi mineral seperti fosforus, potassium, magnesium dan zat besi.
Kongsinya lagi, simpan bawang dalam peti sejuk selama lima minit untuk elakkan pedih mata. Kaedah ini juga tinggikan khasiat bawang yang mana bahan antioksidan (quercetin) akan terhasil dengan lebih banyak lagi.- KOSMO! ONLINE