TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) membantu memperkasa pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Proton City baru-baru ini menerusi program empowerNCER Akademik.
NCIA menyumbangkan 50 set naskah bagi modul tahun enam yang merangkumi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains selain 50 tablet untuk memudahkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Pengurus Besar UPSI Holdings Sdn. Bhd. (UHSB), Mohd Effendy Mohamad Zailani berkata, modul yang diberikan itu menggunakan kaedah pengajaran secara terbimbing yang bersesuaian dengan akademik murid.
“Selain itu, ia juga menekankan tips untuk menguasai mata pelajaran tersebut. Pemberian tablet bagi menyahut Dasar Pendidikan Digital yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Guru Besar SK Proton City, Kamarul Azizi Oree berkata, menerusi sumbangan itu, pihak sekolah dapat melaksanakan pelbagai aktiviti dan program pembelajaran yang melibatkan penggunaan alat digital. – KOSMO! ONLINE