KATHMANDU – Lebih 60 orang hilang di Nepal selepas tanah runtuh disebabkan hujan lebat mengakibatkan dua bas hanyut ke dalam sungai semasa melalui sebuah lebuh raya, kata pihak berkuasa.
Berpuluh-puluh anggota mencari dan menyelamat melakukan operasi mencari mangsa terselamat dalam kemalangan itu di daerah Chitwan, tengah Nepal.
Pegawai Daerah, Khimananda Bhusal berkata, kedua-dua membawa sekurang-kurangnya 66 orang tetapi tiga penumpang sempat melarikan diri sebelum mereka dihanyutkan ke dalam air.
Ketiga-tiga mangsa itu kini dirawat di hospital.
“Kami tidak pasti jumlah keseluruhan penumpang kerana bas-bas ini mengambil penumpang lain di jalan raya.
“Air sungai melimpah dan tiada mangsa lain ditemui setakat ini,” katanya.
Kemalangan itu berlaku di lebuh raya Narayanghat-Mugling, sekitar 100 kilometer ke barat Kathmandu.
Perdana Menteri, Pushpa Kamal Dahal menyuarakan rasa sedih atas kemalangan itu dalam catatan di platform X.
“Saya telah mengarahkan semua agensi kerajaan termasuk pentadbiran negeri untuk mencari dan menyelamatkan penumpang yang terjejas,” katanya. – AFP