JOHOR BAHRU – Tindakan licik dua lelaki melakukan kegiatan mencuri motosikal di sekitar daerah ini dengan menukar nama pemilikan palsu sebelum menjual dengan harga murah di media sosial tumpas apabila mereka ditahan dalam serbuan di Larkin dan Pekan Nanas, Pontian semalam.
Dalam serbuan bermula pada pukul 10.20 malam sehingga 1.50 pagi itu, dua lelaki yang diberkas berusia 28 dan 29 tahun.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 35 tahun berkaitan motosikal miliknya hilang ketika diletakkan di kawasan parkir sebuah bangunan di bandar raya ini, kelmarin.
Ujarnya, susulan laporan berkenaan, polis melakukan tiga serbuan masing-masing satu di Larkin dan dua serbuan di Pekan Nanas.
“Turut dirampas, kunci motosikal, sekeping salinan sijil pemilikan kenderaan (palsu) dan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang.
“Hasil siasatan mendapati, selepas mencuri motosikal, suspek membuat salinan sijil milikan kenderaan palsu dengan menggunakan aplikasi dan menyunting nama pemilik asal kepada namanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Raub berkata, suspek kemudian memuat naik iklan penjualan motosikal di media sosial, pada harga antara RM1,400 hingga RM1,500.
Tambahnya, hasil tangkapan ke atas suspek pertama berjaya menyelesaikan tiga lagi kes curi motosikal yang berlaku di daerah ini.
“Hasil semakan, suspek pertama mempunyai lima rekod jenayah lampau, manakala suspek kedua, tiada rekod jenayah lampau.
“Kedua-dua suspek kini direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE