PUTRAJAYA – Tiga banduan akhir terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan di sini menggantikannya dengan hukuman penjara 38 tahun kerana membunuh pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakarudin Busu dalam kejadian tragis 22 tahun lalu.
Mereka ialah Azizul Azual Jailani, 40, bekas eksekutif jualan, Sulkarnain Alias, 46, dan bekas pemandu forklif, Noorman Ab. Wahab, 45.
Dalam prosiding yang dibuat pada 2 April lalu, keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Zabariah Mohd. Yusof selepas membenarkan permohonan semakan mereka untuk mengetepikan hukuman mati itu.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Mahkamah juga memerintahkan ketiga-tiganya dikenakan sebatan 12 kali.
Hukuman penjara terhadap Azizul Azual berkuat kuasa daripada tarikh tangkap pada 17 Februari 2002, manakala Sulkarnain dan Noorman bermula 16 Februari 2002.
Pada tahun 2009, Azizul Azual, Sulkarnain dan Noorman dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah membunuh Bakarudin, 35, (ketika kejadian) di Jalan SS19/6, Subang Jaya, dekat ini pukul 9.30 malam pada 12 Februari 2002.
Dalam kejadian itu, mayat Bakarudin yang separuh rentung dijumpai dalam longkang di Subang Jaya. Bukti yang diperoleh menunjukkan bahawa mangsa ditendang, ditumbuk dan ditetak hingga mati sebelum mayatnya dibakar pada malam itu.
Semasa proaiding itu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling membantah permohonan ketiga-tiga pemohon untuk mengetepikan hukuman gantung atas alasan nyawa Bakarudin diragut dengan cara yang amat kejam, ngeri dan ganas apabila petrol digunakan sehingga menyebabkan 70 peratus tubuhnya terbakar sebelum ditinggalkan dalam parit.
Beliau berhujah, perbuatan itu telah dirancang terlebih dahulu apabila senjata dibawa bersama ketika mereka mengadakan pertemuan dengan Bakarudin pada malam kejadian.
“Mangsa dipukul sebelum ditikam dan ditetak menggunakan pedang sehingga mengalami 13 kecederaan termasuk luka tetakan berukuran 14 sentimeter di kepala yang merosakkan otaknya,” hujah May Ling.
Beliau turut menyatakan, Azizul Azual (pemohon pertama) memainkan peranan penting kerana dia bertanggungjawab membawa senjata ke tempat kejadian selain berperanan sebagai individu pertama yang menyerang Bakarudin dengan menendangnya sehingga mangsa terjatuh.
Sulkarnain (pemohon kedua) pula berperanan mengatur pertemuan dengan mangsa menerusi bantuan teman wanitanya. Dia bertindak mencekik leher mangsa, menetaknya beberapa kali, membakarnya menggunakan petrol serta mencuri dompet selain cuba mengeluarkan wangnya melalui mesin ATM.
Sementara Noorman (pemohon ketiga) turut memainkan peranan dalam pembunuhan itu dengan meletak pedang berkenaan di leher mangsa serta membantu membakarnya dengan petrol.
Dalam pada itu, peguam-peguam Abdul Rashid Ismail bagi pemohon pertama serta Datuk C. Vignesh Kumar yang mewakili pemohon kedua dan ketiga memohon mahkamah mempertimbang bahawa ketiga-tiganya merupakan pesalah muda.
Hujah peguam, pembunuhan itu bukan dirancang sebaliknya berlaku atas unsur provokatif kerana mangsa telah mengganggu teman wanita Sulkarnain serta langsung tidak berasa bersalah atau memohon maaf atas perbuatannya.
Selanjutnya, insiden itu berlaku selepas Sulkarnain mendapat tahu bahawa Bakarudin telah menghubungi teman wanitanya yang disingkir dari UiTM, memintanya bermalam di sebuah kondominium sebagai ganjaran membantunya dalam rayuan untuk diterima kembali ke kolej.
Untuk rekod, pada 23 Februari 2015, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Tan Sri Ahmad Maarop, sebulat suara menolak rayuan akhir mereka dan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap ketiga-tiganya. – KOSMO! ONLINE