KAJANG – Seorang wanita maut manakala empat ahli keluarga termasuk bayi berusia sebulan cedera selepas kereta dipandu suaminya terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Kilometer 11.8 Lebuhraya Grand Saga di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, mangsa, Khoo Suat Teng, 36, maut di lokasi kejadian selepas tercampak keluar dari kereta jenis Toyota Vios dinaikinya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, hasil siasatan mendapati kereta dipandu ketua keluarga berusia 57 tahun itu brek mengejut sebelum berpusing dan terbalik.
Katanya, kejadian itu menyebabkan penumpang hadapan iaitu isteri pemandu bersama bayinya berusia sebulan tercampak keluar.
“Wanita itu maut di lokasi kejadian manakala bayinya masih menerima rawatan pernafasan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
“Tiga lagi termasuk pemandu yang mengalami cedera ringan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, pemandu itu mendakwa keretanya dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan tidak dikenalpasti menyebabkan dia brek mengejut.
“Bagaimanapun pemeriksaan polis mendapati tidak terdapat kesan rempuhan di bahagian belakang kereta.
“Kereta berkenaan ditahan di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk pemeriksaan Puspakom,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- K! ONLINE