fbpx

‘Busker’ dijel sebar ajaran Millah Abraham kepada isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORASID (baju maroon) didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar kepercayaan bertentangan agama Islam berkaitan ajaran Millah Abraham kepada isterinya. FOTO : MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Seorang ‘buskers’ didenda RM2,000 dan penjara sebulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas kesalahan mengajar ajaran Millah Abraham yang bertentangan dengan agama Islam kepada isterinya.

Hakim Syarie Ruzita Ramli turut memerintahkan tertuduh, Norasid Md. Said, 50, dipenjara sebulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Norasid didakwa mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukuman syarak kepada isterinya berusia 51 tahun dengan menyatakan bahawa ‘Selepas kewafatan Nabi Muhammad akan muncul Rasul baru’.

Kesalahan itu dilakukan di Felda Palong 3, Gemas pukul 10 hingga 11 malam antara 1 September dan 30 September 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019. Sabit kesalahan, boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Abdul Wafi Rahim mencadangkan hukuman denda maksimum dan penjara kepada tertuduh.

Abdul Wafi berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah berat berkaitan akidah yang boleh memudaratkan dan meruntuhkan institusi negara jika disebarkan.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana bekerja sebagai pemuzik jalanan selain mengambil upah memotong rumput dengan gaji kurang RM1,200 sebulan dan sudah bertaubat.

Norasid turut mengejutkan kamar mahkamah apabila memberitahu dia menghidap HIV dan sedang mendapatkan rawatan selain menanggung isteri serta tiga anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua penjamin dan perlu melapor diri dua minggu sekali di pejabat JHEAINS. Difahamkan tertuduh dibawa ke Penjara Jelebu untuk hukuman pemenjaraan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI