JELI – Enam beranak berdepan detik cemas apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terbabas dalam kejadian di Kilometer 6 Jalan Jeli-Dabong di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.15 malam itu, pemandu SUV jenis Proton X70, Mohd. Norazam Baragang Abdullah, 35, dan anak bongsunya, Nur Aisyah berusia 10 bulan masing-masing melecur pada bahagian muka.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, selain dua beranak itu, isteri dan tiga lagi anak Norazam Baragang yang merupakan pegawai Pasukan Gerakan Am ( PGA) Batalion 18 Pengkalan Hulu, Perak turut terlibat dalam nahas tersebut.
Katanya, isteri, Siti Norfaizah Hussin, 20-an bersama anak mereka, Nur Fatimah Azzahrah,10 ; Nur Ain Syafiqah, 9 dan Nur Adawiyah,6, hanya luka ringan pada bahagian belakang dan sakit badan.
“Siasatan awal mendapati, keluarga itu sedang dalam perjalanan dari Jeli menghala ke Dabong.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, SUV itu dipercayai terbabas semasa melalui jalan selekoh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Zamri, siasatan lanjut mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kenderaan semasa melalui selekoh.
Katanya, keenam-enam mangsa yang terlibat kini dirawat di Hospital Jeli dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE.