fbpx

Upah baling bom petrol RM700, simbah cat RM400

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. Kumar menunjukkan kertas ugutan dari sindiket along yang melakukan kes simbah cat dan khianat dengan api pada sidang media di IPK, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Sindiket ceti haram yang aktif mengiklankan kerja seperti membaling cat dan molotov koktel ke atas kediaman mangsa tumpas selepas enam anggotanya ditahan pihak polis.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, enam suspek lelaki berusia 35 hingga 51 tahun itu ditangkap dalam serbuan di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sejak 28 Jun hingga 1 Julai lalu.

Menurut beliau, kesemua suspek itu tertarik dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan sindiket menerusi laman Facebook.

“Modus operandi sindiket adalah mengiklankan kerja dengan tawaran gaji sebanyak RM700 untuk membaling molotov koktel, manakala RM400 untuk membaling cat pada mangsa.

“Selepas tugas itu selesai, mereka perlu merakam dan menghantar video kepada ketua sindiket sebelum menerima bayaran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Jelas Kumar, sindiket tersebut dipercayai bergiat aktif sejak April lalu. Susulan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan 24 kes khianat menggunakan api dan cat di Johor, Pahang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Lima daripada suspek itu positif dadah methamphetamine. Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan; Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI