fbpx

Tanah Yayasan Selangor tidak akan dipindah milik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIRUDIN

SHAH ALAM – Projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) tidak akan melibatkan 1,227 hektar tanah di Pulau Carey seperti didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keluasan tanah Yayasan Selangor (YS) itu sebaliknya akan digunakan bagi pembangunan Pelabuhan Pulau Carey yang dipertanggungjawabkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebelum bekerjasama dengan pihak yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan.

“Saya ingin tegaskan tanah itu tidak akan digunakan bagi pindah milik atau kaedah penukaran tanah bagi pembinaan KSSA.

“Tanah-tanah (YS) akan dijadikan kapital kerajaan negeri untuk memegang minimum sebanyak 20 peratus kepada usaha (pembangunan) dan juga operasi pelabuhan ketiga tersebut.

“Kita belajar apa yang berlaku di Pelabuhan Utara, Barat, Selatan apabila hasil kerajaan negeri hanya mengalir dalam bentuk cukai (daripada keuntungan operasi di tiga pelabuhan tersebut),” katanya ketika sesi pergulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Amirudin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua memaklumkan kerajaan negeri mempunyai tempoh setahun dari tarikh perobohan Stadium Shah Alam yang bermula 2 Julai lalu bagi mengenalpasti tanah-tanah untuk dipindah milik bagi kos pembinaan stadium baharu Shah Alam dan kompleks sukan dapat dibangunkan di sekitar lokasi tersebut.

Tambah beliau, pihaknya telah menyenarai pendek tanah yang berpotensi di Kuala Langat dan Hulu Selangor bagi penukaran tanah tersebut.

“Perkara itu bagaimanapun sedang dibincangkan antara Setiausaha Kerajaan Negeri yang mewakili Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

“Selain itu, saya dianggarkan pada tempoh setahun yang lepas kos perobohan Stadium Shah Alam adalah RM30 juta,” jelasnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Mohamed Azmin yang juga ADUN Hulu Kelang mendakwa pembangunan KSSA dibiayai dengan pertukaran tujuh lot tanah seluas 1,277 hektar tanah di Pulau Carey yang dikatakan milik YS.

Dalam pada itu, ketika mengulas soalan Hilman Idham (PN – Gombak Setia) mengenai keyakinan kerajaan negeri bahawa KSSA dapat disiapkan sepenuhnya pada 2026 pula, Amirudin menegaskan tempoh setahun bagi perobohan adalah mengikut terma-terma majlis tempatan memandangkan keseluruhan Seksyen 13 di sini adalah kawasan perniagaan dan penempatan.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan aktiviti kebisingan itu tidak boleh melebihi 7 desibel dengan kaedah konvensional digunakan bagi proses perobohan.

“Ada sebahagian aset (daripada Stadium Shah Alam) boleh diguna pakai semula contohnya runtuhan batu untuk hakisan tanah dengan kita telah mengenalpasti satu atau dua tempat bagi tujuan tersebut. Kerusi masih baik akan diberikan kepada stadium lain seperti di Sabak Bernam, Sungai Besar dan Selayang yang masih menggunakan tempat duduk simen.

“Kalau ikut pengalaman MRCB, kita yakin mereka boleh memastikan pembangunan disiapkan dalam tempoh ditetapkan seperti dilakukan dalam pembangunan semula Stadium Bukit Jalil daripada 2016 hingga 2017,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI