fbpx

Azeem tetap ada peluang di Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM menerima kunjungan Hamidin selaku Ketua Kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris di MSN Bukit Jalil semalam. - IQBAL ROSL

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi enggan terlalu merendah diri ketika membuat kemunculan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024 kerana menganggap semua pelari mempunyai peluang yang sama rata.

Pelari berusia 20 tahun itu yang melangkah ke Paris 2024 atas tiket wildcard, mengakui sebaik melangkah ke temasya empat tahun berkenaan, semua pelari bertaraf dunia lain tiada bezanya dan bergantung pada prestasi pada hari pertandingan.

“Saya tidak terbayang hendak lari dengan siapa-siapa. Saya sudah berlari dengan pelari terpantas dunia sewaktu di Sukan Asia (Hangzhou) dan juga di Kejohanan Dunia (Hungary).

“Bagi saya, pada tahap ini, semuanya ada peluang sama rata. Ia lebih kepada siapa yang boleh pamerkan prestasi terbaik pada hari pertandingan.

“Macam saya lari di Kejohanan Dunia pun ada ramai atlet yang lari 9 saat (s) dalam aksi saringan. Pada masa yang sama ada juga yang buat 10.2s, saya juga buat 10.2s masa itu.

“Jadi, seperti yang saya katakan, ia bergantung kepada apa yang anda rasa pada hari pertandingan, sejauh mana tahap keyakinan anda dan tahap keselesaan anda pada hari itu.

“Saya tidak letak sasaran untuk berlari dengan sesiapa kerana saya pergi ke Olimpik berlari menentang diri sendiri,” kata Azeem selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia ke Paris, Datuk Hamidin Mohd. Amin di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Azeem kini dalam pecutan akhir untuk meneruskan sesi latihan yang lebih agresif selepas melakukan analisis mengenal pasti kelemahannya bersama Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah.

“Saya sudah menganalisis bersama ISN (Institut Sukan Negara), MSN, Ballard dan Amir tentang pelan latihan mingguan yang lebih spesifik. Minggu depan saya akan mula fokus dari aspek blok pelepasan, tengah dan garisan penamat,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI