fbpx

Peniaga bimbang kenyataan Papagomo boleh jadi rusuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Papagomo (kiri) bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh Syakir Radin/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, satu laporan polis dibuat terhadap penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris ekoran kenyataannya yang didakwa menghasut bahawa kerajaan yang memerintah, memihak kepada Israel dan Barat.

Laporan itu dikemukakan oleh seorang peniaga, Hisham Sharudin, 42, kerana bimbang kenyataan Wan Muhammad Azri atau Papagomo boleh menyebabkan berlaku pergaduhan dan rusuhan di negara ini.

Menurut saksi pendakwaan pertama itu, laporan dibuat pada 8 November 2023 bagi mengelak perbalahan selain khuatir dengan desas-desus bahawa Israel mahu menyerang Malaysia.

Hisham menyatakan demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam pada hari pertama perbicaraan kes bekas Exco Pemuda UMNO itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Dalam keterangannya, Hisham berkata, sebelum laporan dibuat, beliau menonton satu video di akaun Facebook Halid Hamidi dan akaun TikTok @projekpapa yang memaparkan kenyataan Wan Muhammad Azri.

Saksi kemudian membuat laporan polis supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas individu terlibat yang mengeluarkan kenyataan boleh mendatangkan kegusaran awam.

“Saya mengenali Wan Muhammad Azri melalui media sosial dan telah mengikuti perkembangan politiknya sejak 2020, namun saya tidak mengenali Halid.

“Hantaran Halid di akaun Facebook naik semasa saya melayari Facebook pada 8 November 2023. Saya nampak ada orang kongsikan link kepada posting di Facebook, saya kemudian klik kepada link tersebut yang membawa saya kepada hantaran itu,” katanya.

Ujar saksi, setelah menonton dan meneliti video tersebut, beliau mendapati kenyataan yang dibuat oleh Wan Muhammad Azri berbentuk menghasut rakyat untuk membenci kerajaan dengan mengatakan kerajaan ketika ini adalah pro kepada Rejim Israel.

“Fakta itu tidak benar kerana terdapat banyak program dan tindakan kerajaan yang jelas mengutuk tindakan-tindakan Israel dan saya dapati kerajaan sentiasa memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Sehubungan itu, Hisham berkata kata-kata tersebut adalah penghinaan kepada kerajaan dan boleh menjejaskan usaha untuk menyatakan pendirian konsisten kerajaan kepada perjuangan rakyat Palestin bagi mendapat negara yang merdeka.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku ketua kerajaan telah pergi ke negara timur tengah seperti Arab Saudi, Mesir dan Turki pada penghujung Oktober 2023 untuk mendapatkan sokongan negara-negara tersebut dalam membantu mengutuk tindakan kejam Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza,” katanya.

Semasa disoal balas peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Wan Muhammad Azri, saksi itu tidak bersetuju bahawa laporan polis berhubung kenyataan tertuduh itu dibuat kerana mahu mempertahankan parti PKR dan Anwar selaku presiden.

Hisham bersetuju dengan peguam berkenaan bahawa tiada rusuhan dan pergaduhan berlaku di Kedutaan Amerika Syarikat dari tarikh laporan polis dibuat sehingga hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga Halid Hamidi, 55, memberitahu mahkamah bahawa video mengenai kenyataan Wan Muhammad Azri itu dimuat naik ke dalam hantaran akaun Facebook beliau (Halid) pada 5 November 2023 menggunakan telefon bimbitnya.

Saksi pendakwaan kedua itu berkata beliau memuat naik video tersebut ke dalam akaun Facebooknya kerana mempunyai sedikit perasaan tidak puas hati dengan peningkatan harga barang serta barangan keperluan harian sukar diperolehi di pasaran selain tertarik dengan paparan video itu.

Wan Muhammad Azri didakwa menyebut kata-kata menghasut di laman Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’ dan kata-kata itu dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada 1 tengah hari, 8 November 2023. Perbicaraan bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI