DORTMUND – Wira England, Ollie Watkins merasakan dirinya seperti bermimpi apabila mampu menghadirkan impak besar untuk menewaskan Belanda 2-1 di separuh akhir Euro 2024 awal pagi semalam.
Bintang Aston Villa itu turut mengakui dia sudah menunggu lama untuk melalui detik hebat seperti ini dan jaringan lewat permainannya memastikan The Three Lions mara ke final buat kali kedua berturut-turut.
“Sejak beberapa minggu ini, saya sentiasa menunggu saat seperti ini,” katanya.
Mengimbau semula perjalanan kariernya sejak sembilan tahun lalu, Watkins yang memiliki kontrak dengan Exeter City pernah mengharungi detik terendah termasuk dipinjamkan ke kelab lebih bawah, Weston-super-Mare.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai situasi sekarang yang melonjakkan namanya selaku hero England, Watkins bertegas bahawa dirinya sentiasa kekal bersikap realistik.
“Anda boleh bermimpi tetapi saya adalah seorang yang agak realistik. Sejujurnya saya tidak pernah mengimpikan tentang semua ini.
“Saya tidak boleh menipu, namun dapat menjaringkan gol buat England adalah sesuatu yang menakjubkan dan saya tidak pernah jangka dapat melakukannya di kejohanan seperti ini.
Bekas penyerang Brentford itu juga hanya bermain 20 minit pada aksi peringkat kumpulan menentang Denmark, namun Watkins sendiri mengakui dia sentiasa memiliki mentaliti positif untuk menghadirkan perubahan kepada pasukan.
“Ketika berada di bangku simpanan, saya ada mengatakan kepada Dean Henderson (penjaga gol ketiga England) bahawa saya mampu buat perubahan.
“Saya berjaya mengambil peluang ini dan berjaya menjaringkan gol penting untuk bawa pasukan ke final,” jelasnya. – AGENSI