PETALING JAYA – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya hari ini telah membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus.
Menurut bank pusat, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.
“MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri dan akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
BNM menerangkan, ekonomi global terus berkembang berikutan keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan dan pemulihan perdagangan global yang berterusan.
Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berkekalan kerana rintangan daripada dasar monetari yang ketat dan sokongan fiskal yang berkurang akan dibendung oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta inflasi yang terus menurun.
Jelasnya, bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh pada suku kedua tahun ini dan ia didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan prestasi eksport yang lebih baik.
Mengenai inflasi pula, bnm memaklumkan bahawa Inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata pada 1.8 peratus pada lima bulan pertama tahun 2024.
“Seperti yang dijangka, inflasi akan lebih tinggi pada separuh kedua tahun 2024 berikutan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini. Bagaimanapun, kenaikan inflasi masih terkawal berikutan langkah-langkah pengurangan yang dilaksanakan bagi meminimumkan kesan kos terhadap perniagaan.
“Pada masa hadapan, risiko inflasi yang lebih tinggi akan bergantung pada sejauh mana kesan limpahan dasar dalam negeri selanjutnya berhubung dengan subsidi dan kawalan harga kepada trend harga yang lebih luas serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global
“Bagi seluruh tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka berpurata dalam julat yang diunjurkan sebelum ini iaitu masing-masing antara dua peratus hingga 3.5 peratus dan dua peratus hingga tiga peratus,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE