PETALING JAYA – Pekerja sebuah gerai jualan durian di Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Bangi menggunakan strategi ‘tayang badan’ sebagai tarikan kepada orang ramai untuk membeli buah di tempat mereka.
Menerusi video dimuat naik pada TikTok Durian Papa Muda, terdapat pekerja gerai tersebut yang ditugaskan antaranya mengangkat bakul buah selain mengopek durian sambil tidak memakai baju.
Pada ruangan komen, orang ramai memberi pelbagai maklum balas termasuk pengguna media sosial wanita yang berseloroh bertanyakan lokasi gerai durian tersebut.
“Tiba-tiba teringin pula nak makan durian,” kata seorang pengguna TikTok.
“Lokasi, lokasi… kawan suruh minta,” ujar seorang wanita.
Dalam masa sama, ada juga tidak menyukai strategi ‘tayang badan’ sebagai tarikan kepada orang ramai membeli durian.
“Boleh dah kot beli baju sebab banyak dah untung rasanya kan,” komen seorang lagi wanita.
“Aku saja kah perempuan yang geli nampak badan lelaki macam ni,” kata seorang pengguna TikTok yang lain. – KOSMO! ONLINE