fbpx

Bapa tiri didakwa amang seksual anak lelaki 6 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya berusia enam tahun. -Foto SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri lelakinya berusia enam tahun, April lalu.

Tertuduh yang berusia 33 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun kira-kira pukul 8 malam di sebuah rumah dalam daerah Melaka Tengah pada 6 April 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan membantah sebarang jaminan diberikan dengan mengambil kira mangsa merupakan anak tiri tertuduh, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan RM30,000 dikenakan berserta syarat tambahan.

Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan akan tinggal bersama bapanya di Krubong sekiranya dijamin.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak mengganggu atau berada berhampiran tempat tinggal mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh juga diperintah untuk melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan. Mahkamah menetapkan tarikh 15 Ogos bagi serahan laporan perubatan dan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI