fbpx

‘Jajan racun tikus digantung tinggi, tidak mungkin mangsa ambil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Makanan ringan dicampur racun tikus yang digantung pada pagar kebun di Kampung Padang Ubi di Labu Besar, Kulim.

BALING – Seorang pekebun mendakwa makanan ringan yang dicampur racun tikus digantung pada ketinggian lebih 1.2 meter serta diikat ketat menggunakan tali tangsi yang mana ia sukar diambil kanak-kanak kecil.

Dakwa pekebun yang mahu dikenali sebagai Am, 35, dia dimaklumkan oleh adik lelakinya berusia 34 tahun bahawa jajan bercampur racun itu juga tidak digantung pada pagar berdekatan jalan, sebaliknya diletakkan di kawasan laluan monyet berhampiran hutan.

“Jadi, tidak mungkin dua mangsa itu dapat mengambil makanan ringan tersebut yang diikat pada pagar kebun. Hanya terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada orang dewasa mengambilnya atau monyet ambil dan terjatuh di mana-mana.

“Adik juga beritahu dia meletakkan kira-kira lima bungkusan makanan ringan dicampur racun tikus pada pagar kebun dengan tiga dipercayai sudah diambil monyet, manakala satu hilang dan satu lagi masih berada di situ,” dakwanya ketika ditemui di Kampung Banggol Berangan, di sini malam tadi.

Dia yang mempunyai pertalian saudara dengan keluarga Allahyarham Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, hadir pada majlis pengebumian kanak-kanak itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan.

Dakwanya lagi, racun tikus dari China dan tidak berdaftar itu turut digunakan beberapa pekebun lain di kawasan tersebut.

“Ia amalan biasa yang mana racun tidak berdaftar ini ada dijual di kedai-kedai di Kulim ini selain turut dijual secara dalam talian. Racun ini murah yang mana ia dijual pada harga RM3 sepeket.

“Memang biasanya guna makanan ringan jenis itu kerana warna bungkusan yang menarik selain warna keropok yang terang dan monyet akan menjilatnya apabila terkena pada jari. Kami tak guna buah sebab bimbang lembu jilat atau makan buah itu,” dakwanya.

Katanya, berdasarkan pengetahuannya, monyet yang mengambil jajan itu pasti akan memakan makanan tersebut.

Sementara itu, katanya, adik lelakinya yang juga seorang pekebun dan membela lembu itu ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Kulim pada semalam untuk siasatan lanjut.

Selain itu, menurutnya, dia merupakan individu yang membawa arwah dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, ke Klinik Kesihatan Malau untuk mendapatkan pertolongan pada hari kejadian.

“Ibu arwah yang berlari meminta tolong dan saya bersama ibu telah bantu sedaya upaya kami. Kami mendoakan yang terbaik buat ibu arwah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI