fbpx

Pertama kali, B.I janji datang KL lagi!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
B.I bukan sahaja dianggap idola K-Pop berbakat besar, malah mempunyai pakej lengkap termasuk suara serak basah dan lincah menari.

DALAM keghairahan ramai penghibur antarabangsa beraksi di Malaysia, kesetiaan peminat tegar terhadap penyanyi K-pop, B.I tetap ampuh apabila tiket konsert jejaka tampan itu ‘sold out’.

Rancak dan lincah. Itu istilah tepat bagi menggambarkan persembahan hebat B.I atau nama sebenarnya Kim Han-bin menerusi 2024 B.I Concert Tour Hype Up In Kuala Lumpur yang menghimpunkan penonton kebanyakannya terdiri daripada Gen Z.

Gelanggang Mega Star Arena menjadi saksi persembahan cemerlang konsert solo sulung B.I di negara ini yang disambut gema suara pemujanya sebaik sang penyanyi membuka langkah menguasai pentas sekali gus melunaskan impian lama terpendam.

Tepat pukul 6 petang, kemunculan B.I disambut sorakan lebih 3,000 peminat, barangkali terlalu teruja kerana sudah lama menantikan momen bersejarah itu berlangsung depan mata.

Meskipun bergelar bintang global, B.I kekal santai dan tidak berlebihan, hanya menggayakan dua persalinan sepanjang konsert iaitu kemeja-T dan jeans, malah persalinan keduanya sekadar berseluar pendek, namun tetap kelihatan ‘fancy’.

Konsert berdurasi tiga jam itu meriah dengan jeritan penonton yang merancakkan lagi momentum konsert.

Rancak

Menyanyikan lebih 30 lagu, bekas anggota kumpulan iKON itu seakan-akan berperang di atas pentas memberikan yang terbaik buat ribuan peminatnya.

B.I membuka tirai persembahan dengan lagu Michelangelo diikuti Alive, One and Only, Waterfall, Illa Illa, Loved, Numb dan 4 Letters.

Enggan membiarkan peminat menunggu lama, lelaki tinggi lampai itu mempersembahkan BTBT, antara single yang menjadi kegemaran ramai sejak diterbitkan dua tahun lalu.

HAMPIR keseluruhan lagu ada elemen rap seiring tarian kompleks, B.I tetap ampuh memberikan persembahan terbaik tanpa kelihatan lelah.

Tidak memberi peluang penonton berehat walau sejenak, penyanyi berusia 27 tahun itu berjaya membuat audiens terus ‘menggila’ menikmati seleksi rancak Keep Me Up, Got It Like That dan Remember Me.

Tambah menarik, B.I turut mengundang penyanyi Leo untuk beraksi bersamanya. Selepas berduet menerusi lagu Pretty Plzzz, Leo kemudian mengambil alih pentas menyanyikan lagu Come Closer dan Farewell.

B.I kemudian kembali mengalih alih pentas sekali gus menderaskan semula adrenalin penonton menerusi menerusi lagu Tasty, To Die, TTM, Flame, Lover, Born Hater dan Smoke.

Sebelum mendendangkan lagu Nineteen dan Die For Love, B.I turun dari pentas untuk bermesra dengan penonton sekali gus menghangatkan lagi suasana konsert tersebut.

B.I membuktikan bahawa bukan semua bintang K-pop sukar didekati, malah melanggar semua protokol ketat semata-mata mahu berinteraksi dengan peminat.

MESKIPUN dendangan lagu-lagu hits B.I berbelit lidah untuk dialunkan, itu bukan penghalang untuk penonton turut sama menyanyi sepanjang konsert berlangsung.

“Terima kasih kerana hadir ke konsert saya, kalian memang cinta hati saya.Saya dah kotakan janji untuk buat persembahan di Malaysia, teruskan menyokong karier dan karya saya.

“Saya janji akan datang ke sini (Kuala Lumpur) lagi selepas ini,” ujarnya ketika dikerumuni peminat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan konsert malam itu sememangnya berkualiti tinggi, selain mempamerkan keaslian aura bintang yang tidak mungkin mampu diciplak idola K-pop lain.

Energi membuak-buak

Mendendangkan lagu yang hampir keseluruhannya mempunyai koreografi, bintang kelahiran Goyang-si itu tidak sedikitpun menunjukkan rasa penat, malah tenaganya sentiasa memuncak.

Lebih mengujakan, B.I turut mempersembahkan beberapa demo lagu yang masih dalam proses rakaman untuk diperdengarkan kepada peminat buat julung kalinya.

Walaupun masih belum siap sepenuhnya, dia berjanji dendangan tersebut bakal dilancarkan tidak lama lagi.

2024 B.I Concert Tour Hype Up In Kuala Lumpur, sebuah pentas sulung bukti keampuhan dan kredibiliti B.I sebagai penyanyi dalam kelas tersendiri meskipun tanpa iKON. – Fi ENTERTAINMENT

Energi luar biasa ditunjukkan idola bermata sepet itu turut membuktikan dia mampu mendunia tanpa sokongan iKON.

Segmen ‘encore’

Tidak berundur tanpa lagu wajib, All Shook Up, Beautiful Life dan Cosmos, sebagai seruan buat semua peminat rap galau, suara penonton bergema mengikut bait lirik lagu yang sudah sebati di jiwa.

Tidak hairan jika B.I memberi ‘amaran’ bahawa segmen ‘encore’ bakal dipanjangkan dan mengizinkan peminat untuk pulang jika ada yang kepenatan.

Sebagai penutup keseluruhan konsert, mood rancak ‘cucuk langit’ diakhiri dengan lagu Encore Ment dan Re-Birth yang membuatkan atmosfera Mega Star Arena riuh dan bingit.

Jujur, meskipun konsert genre sebegini bukanlah ‘jiwa’ penulis tetapi kualiti yang dipamerkan jejaka bersuara seksi itu tidak dapat disangkalkan lagi dan sememangnya hebat.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI