fbpx

Projek Reben Kuning peluang banduan sertai industri sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH bersama para pelatih yang menerima sijil tamat latihan Kursus Terapi Urutan Sukan Golf dan Kursus Asas Operasi Kedi Golf di Penjara Kajang hari ini.

KAJANG – Menjadi penghuni ‘tirai besi’ bukanlah pengakhiran untuk seseorang banduan memajukan diri sebaliknya masih ada sinar terutama golongan belia untuk mencari kehidupan lebih baik sebaik tamat hukuman dengan menyertai Projek Reben Kuning.

Projek yang diperkenalkan pada 2018 itu bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada bekas banduan terutama golongan belia bermasalah serta penghuni Sekolah Henry Gurney menerusi program-program latihan pembangunan kemahiran yang mempunyai pasaran kerjaya dan peluang keusahawanan

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, inisiatif dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dengan menyediakan 22 kursus latihan kemahiran di seluruh negara dapat memberikan ruang bagi golongan dan dapat mengubah stigma kepada golongan tersebut.

Katanya, ketika ini 20 prospek belia wanita dari Penjara Wanita Kajang telah melengkapkan Kursus Terapi Urutan Sukan Golf dan Kursus Asas Operasi Kedi Golf di bawah Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) yang dijalankan dari 7 Julai dan tamat semalam.

“Menariknya, 20 orang telah menerima sijil mereka dan permintaan daripada banduan wanita adalah untuk kita perbanyakkan lagi supaya lebih ramai boleh mengikuti kursus ini.

“Melalui perbincangan saya dengan persatuan golf di luar, industri sukan juga memerlukan ramai lagi kedi untuk bekerja dan ini memperlihatkan ada ‘matching’ yang berlaku. Kita mesti letakkan bajet untuk perkasakan supaya industri dapat pelatih yang diberikan kemahiran. 

“Sebab itu, reben kuning ini untuk memberi mereka peluang kedua. Kita nak pastikan tidak ada stigma kepada mereka ini. Dengan ada keperluan seperti kedi golf ini, saya percaya mereka (industri) akan memberi peluang kepada mereka dan kita kena cuba dulu.

“Jangan takut ada stereotaip atau prejudis, kita cuba dulu dan kalau berjaya kita akan teruskan, kalau tak berjaya sekali pun, kita cuba lagi dengan konsep yang lain,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra bersama peserta Projek Reben Kuning 2024 di Penjara Wanita Kajang, hari ini.

Bagi edisi tahun ini, KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia telah menyediakan 22 kursus latihan kemahiran di seluruh negara bermula pada Julai hingga Ogos dengan membabitkan 300 peserta. 

Selain Kursus Terapi Urutan Sukan Golf dan Kursus Asas Operasi Kedi Golf, antara kursus lain adalah seperti Teknologi Automotif (Penyelenggaraan kereta); Teknologi Automotif (Penyelenggaraan Motorsikal); Teknologi Maklumat (Fotografi); Pencetakan digital dan Teknologi Kosmetologi (Perekaan Gaya Rambut) turut ditawarkan.

Usaha yang dilakukan KBS itu secara langsung dapat membantu belia terlibat kembali dan berbakti kepada masyarakat tanpa dibelenggu kesilapan masa lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI