SUNGAI SIPUT – Seorang pengusaha kebun durian di Kampung Lasah di sini kerugian RM30,000 selepas kebun miliknya diceroboh gajah liar sejak sebulan lalu.
Kamarudin Ishak, 63, berkata, kehadiran gajah liar ketika musim durian luruh menyebabkan dia dan pekebun lain tidak sempat menuai hasil apabila raja buah itu ‘dikutip’ lebih awal oleh haiwan tersebut.
Katanya, biasanya mamalia itu akan masuk ke kawasan kebun durian pada waktu malam dan beredar selepas pukul 5 pagi.
“Masalah gajah masuk kebun bukan perkara baru, sejak dulu lagi memang ada cuma sekarang musim durian luruh. Jadi lebih kerap haiwan itu masuk ke kebun.
“Biasanya kalau saya datang ke kebun pukul 8 pagi, tak banyak lagi durian yang tinggal. Kalau ada pun durian yang luruh selepas gajah masuk semula ke kawasan hutan.
“Sebelum ini saya boleh menddapat hasil RM200 ke RM300 untuk sekali kutipan dan RM20,000 ke RM30,000 bagi setiap musim. Sejak kehadiran gajah liar, kutipan jauh berkurangan kerana kita terpaksa berebut dengan haiwan itu,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Kamarudin yang merupakan bekas pekerja kuari itu menyertai penduduk kampung dalam operasi memindahkan gajah liar oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.
Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, aduan berkaitan haiwan liar yang mengganggu tanaman penduduk itu diterima sejak awal Mei lalu.
Jelasnya, satu operasi dijalankan oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) bagi mengesan haiwan tersebut sebelum berjaya ditangkap, Sabtu lalu.
“Gajah betina dari Hutan Simpan Piah dinamakan ‘Yong Manis’ itu berusia lima tahun dengan berat sekitar 1.1 tan.
“Seramai 26 anggota Perhilitan Perak dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah terbabit dalam operasi memindahkan haiwan itu ke habitat asalnya di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE