fbpx

Kenal di Bigo, ‘Secret Love’ minta bahan porno budak dijel 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Tindakan seorang lelaki meminta bahan pornografi daripada kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun melalui aplikasi WhatsApp mengundang padah apabila dia kekal dipenjara 10 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Rayuan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas menolak rayuan akhir lelaki berusia 33 tahun tersebut selaku perayu.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S. M. Komathy Suppiah mengekalkan sabitan dan hukuman yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi Taiping, Perak.

Perayu mengaku menjalin hubungan ‘cinta’ terlarang secara maya dengan mangsa yang dikenalinya melalui ‘Bigo’ pada 2019, namun mereka tidak pernah bersemuka sepanjang perkenalan itu.

Perayu yang dirujuk oleh mangsa sebagai `Secret Love’ kerap memujuk kanak-kanak itu berbual secara intim sehingga ke tahap bertukar-tukar gambar dan video lucah melalui WhatsApp.

Berdasarkan penghakiman bertulis oleh Hakim Azmi bertarikh 1 Julai lalu, panel itu berpendapat dakwaan perayu bahawa mereka pasangan kekasih dan berhasrat mengahwini mangsa, tidak boleh dipercayai kerana tiada tindakan proaktif diambilnya untuk bertemu keluarga gadis itu bagi membincangkan niatnya.

“Perayu tidak berniat mengahwini mangsa kerana sejak dari awal dia mengetahui mangsa seorang kanak-kanak dan hanya mengambil kesempatan terhadapnya.

“Kami bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi bahawa sesiapapun boleh menyedari mangsa masih kanak-kanak berdasarkan gambar profil WhatsAppnya.

“Perayu malah tidak mengambil sebarang usaha untuk bertemu mangsa bagi memastikan umur sebenarnya,” demikian menurut penghakiman itu.

Sebelum ini parayu disabitkan atas empat pertuduhan pindaan meminta bahan pornografi mangsa yang ketika itu berusia di bawah 18 tahun pada waktu-waktu tertentu di antara lewat malam dan awal pagi iaitu antara 14 Oktober dan 17 Oktober 2019 di sebuah rumah di Changkat Jering.

Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan maksimum 15 tahun dan sebatan minimum sebanyak tiga kali.

Pada 2 November 2023, Mahkamah Tinggi Taiping mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun ke 10 tahun bagi setiap pertuduhan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Taiping. Hukuman berkuatkuasa serentak.

Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md. Nurdin turut mengarahkan lelaki itu menjalani sesi kaunseling di penjara dan pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.

Keterangan kes menyatakan, perayu memulakan langkah mendekati mangsa yang ketika itu masih menuntut dalam tahun enam sewaktu melayari platform penstriman langsung `Bigo’ dan hubungan secara maya itu berlanjutan hingga ke aplikasi WhatsApp.

Mahkamah Tinggi bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa pembelaan Hendra adalah penafian kosong semata-mata apabila menyatakan perbuatan meminta pornografi itu tidak salah kerana menyangka mangsa telah dewasa dan menganggapnya sebagai kekasih.

Hakim bicara berkata, alasan tertuduh bahawa dia percaya bulat-bulat mangsa adalah dewasa, adalah tidak munasabah kerana tertuduh bukan seorang yang tidak berpendidikan sehingga tidak dapat membezakan ciri-ciri seorang perempuan dan kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI