MANCHESTER – Manchester United bersetuju menggunakan klausa pelepasan bernilai £34 juta (RM199 juta) untuk mendapatkan khidmat Joshua Zirkzee dari Bologna dalam tempoh beberapa hari lagi ketika proses rundingan berada di peringkat akhir.
Perbincangan mengenai usaha United mendapatkan penyerang Belanda itu menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh 24 jam yang lalu dengan proses perpindahan tersebut dilapor semakin hampir menjadi kenyataan.
Pemain berusia 23 tahun itu telah menjadi sasaran utama untuk United pada musim panas ini dan perbincangan telah berlangsung selama beberapa minggu dengan pihak Old Trafford yang kini bersedia untuk memenuhi yuran pembelian pemain tersebut.
Dalam pada itu, AC Milan juga telah menunjukkan minat terhadap Zirkzee, sementara Bologna telah berusaha untuk meyakinkan penyerang itu untuk melanjutkan kontraknya, namun The Red Devils berada di kedudukan terbaik untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Bayern Munich tersebut.
Laporan turut menyebut bahawa individu penting yang memainkan peranan untuk memujuk Zirkzee ke Old Trafford adalah pembantu jurulatih baharu mereka yang juga bekas penyerang sensasi United, Ruud Van Nistelrooy yang telah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama pasukan itu.
Dalam perkembangan lain, United juga hampir menyelesaikan urusan perpindahan Matthijs de Ligt dari Bayern Munich, malah pemain pertahanan Chelsea, Ben Chilwell turut berada dalam senarai buruan mereka.
Difahamkan, Chilwell dalam pilihan yang sedang dipertimbangkan oleh United untuk memberi persaingan kepada Luke Shaw, namun perbincangan mengenai pilihan tersebut masih berjalan. – AGENSI