PEMAIN beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia memasang impian untuk menjadi atlet pertama negara yang memiliki gelaran juara dunia dan pingat emas Olimpik menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
Setakat ini, hanya pingat emas Olimpik masih belum berada dalam koleksi pemain berusia 27 tahun itu memandangkan dia sudah pun memiliki kejuaraan dunia bersama pasangannya, Soh Wooi Yik ketika muncul juara dua tahun lalu.
Kata Aaron, pingat emas Olimpik menjadi sumber motivasi untuk dia dan Wooi Yik melakar sejarah tersendiri, iaitu pencapaian yang tidak pernah dibuat mana-mana atlet negara sebelum ini.
“Sudah tentu perkara itu (emas Olimpik) menjadi motivasi untuk kami melakukannya. Apa yang lebih menaikkan semangat kami adalah untuk mengejar apa yang belum dilakukan atlet-atlet lain.
“Saya berasa kali ini mungkin akan menjadi peluang terbaik untuk kami melakukannya, seperti mana yang pernah disuarakan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Sebagai rekod, Aaron dan Wooi Yik sudah pun melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pemain badminton pertama negara yang menjadi juara dunia selepas menewaskan legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di perlawanan akhir pada edisi 2022.
Dalam pada itu, penampilan sulung mereka di pentas Olimpik Tokyo 2020 menyaksikan beregu No.5 dunia berkenaan membawa pulang pingat gangsa, sekali gus membuktikan mereka adalah pemain yang sentiasa menyerlah dalam kejohanan utama.
“Bagi saya, kami tidak ada sebarang tekanan dan hanya mahu menikmati setiap perlawanan di Olimpik nanti. Apa yang penting adalah pantang untuk kami menyerah kalah terlalu awal,” ujar Aaron.
Meskipun belum meraih sebarang kejuaraan musim ini, Aaron-Wooi Yik boleh dianggap menampilkan aksi konsisten apabila muncul naib juara All England selain mara ke separuh akhir Terbuka India dan Kejohanan Badminton Asia (BAC).