MUNICH – Kapten Perancis, Kylian Mbappe terpaksa mengakui Les Bleus belum berada pada tahap terbaik untuk mengesahkan tempat ke final Euro 2024.
Misi penting naib juara Piala Dunia 2022 itu tersekat di separuh akhir selepas tunduk 1-2 kepada Sepanyol di Allianz Arena awal pagi semalam.
“Kami belum cukup bagus untuk mendapatkan tempat ke perlawanan akhir. Sepanyol beraksi lebih baik berbanding kami dan mereka berhak untuk ke final dan kami kini harus pulang,” katanya.
Les Bleus bermula cemerlang selepas Mbappe berjaya mencipta umpanan kepada Randal Kolo Muani untuk menghasilkan gol pembukaan di awal permainan.
Bagaimanapun, gol itu seakan membangkitkan semangat Sepanyol yang memperoleh dua gol dalam tempoh empat minit menerusi Lamine Yamal dan Dani Olmo bermula minit ke-21.
Paling mengecewakan, dua daripada empat gol yang direkodkan Perancis pada penyertaan kali ini terhasil menerusi jaringan sendiri pemain lawan dan satu menerusi penalti.
Situasi ini jelas berbeza ketika Perancis muncul naib juara Piala Dunia 2022 yang menyaksikan mereka menghasilkan 16 gol dengan lapan daripadanya dijaringkan oleh Mbappe.
“Saya mempunyai cita-cita untuk jadi juara Eropah, namun saya tidak mampu melakukannya. Sudah pasti keputusan ini cukup mengecewakan.
“Saya ada peluang namun penyudahnya bola melepasi palang gol. Inilah realiti bola sepak, kami tewas 1-2 dan kini harus pulang ke rumah sendiri,” jelasnya. – AGENSI