MUNICH – Ketua Jurulatih Sepanyol, Luis De La Fuente memuji kualiti dan semangat kebersamaan yang ada dalam pasukan itu untuk menewaskan Perancis 2-1 seterusnya mara ke perlawanan Euro 2024.
Pada aksi di Allianz Arena awal pagi semalam, La Roja terlebih dahulu ketinggalan seawal minit kesembilan sebelum mereka menunjukkan respons yang baik menerusi dua gol dalam tempoh empat minit.
Bintang muda sensasi, Lamine Yamal berjaya meledak gol penyamaan Sepanyol pada minit ke-21 sebelum Dani Olmo menjaringkan gol kemenangan empat minit kemudian untuk menghantar pasukan itu ke pentas final pertama selepas kali terakhir melakukannya pada 2012.
De La Fuente memberitahu, La Roja memiliki kualiti individu yang luar biasa selain cukup versatil untuk mereka berdepan semua halangan pada kempen kali ini dan kemaraan ke pentas final adalah bukti jelas keinginan mereka untuk muncul juara.
“Idea bola sepak kami adalah berdasarkan kemampuan yang ada dalam pasukan ini. Ini adalah cara bermain yang kami inginkan, berdasarkan kekuatan yang kami ada. Kami memiliki kemampuan dan anda boleh melihatnya sepanjang saingan.
“Secara individu, kami adalah sangat hebat, tetapi pemain telah menggunakan kemampuan itu untuk mendapatkan kelebihan secara kolektif. Ini adalah tanda bahawa Sepanyol sudah kembali mendapatkan semula generasi bola sepak yang hebat. Cuma, kami perlu terus meningkat dengan semangat pengorbanan,” katanya.
Juara tiga kali Euro itu muncul sebagai pasukan pertama dalam sejarah penganjuran saingan itu berjaya meraih enam kemenangan sepanjang perjalanan mereka dan Sepanyol bakal mencipta sejarah baharu menjadi pasukan paling banyak memenangi saingan dengan empat gelaran jika memenangi aksi final nanti.
Dalam pada itu, De La Fuente turut membalas kritikan beberapa pihak yang mempersoalkan keputusannya dalam pemilihan pemain untuk membawa cabaran pasukan itu di Euro kali ini.
“Saya mahu anda tahu bahawa ini sebenarnya lebih mengejutkan anda berbanding kami kerana kami sedar mengenai kemungkinan yang kami ada. Saya mengenali pemain-pemain ini dan membuat keputusan berdasarkan sejauh mana saya kenal mereka,” jelasnya. – AGENSI