Saya ada terbaca satu posting mengatakan bahawa ada hadis yang mengatakan melihat muka bapa dapat pahala. Adakah hadis itu daif dan tidak boleh diamalkan?
Jawapan: Hadis ‘merenung wajah bapa mendapat ganjaran pahala’ merupakan hadis yang daif.
Meskipun begitu, beramal dengan hadis daif dalam perkara fada’il (kelebihan) adalah harus di sisi para ulama dengan syarat hadis tersebut bukan syadid al-da’f (daif berat).
Bahkan, seseorang akan mendapat pahala jika melihat sesuatu ciptaan Allah SWT dengan perasaan kagum terhadap keagungan dan kekuasaan Allah, apatah lagi sekiranya dia turut berdoa dan memuji ke hadrat Allah SWT.
Hadis yang dimaksudkan adalah hadis yang diriwayatkan oleh al-Dailami dalam karyanya al-Firdaus bi Ma’thur al-Khitab:
Melihat kepada Kaabah, wajah kedua-dua ibu bapa dan al-Quran adalah ibadah. (Riwayat al-Dailami)
Hadis ini dihukumkan sebagai daif kerana di dalam sanad hadis tersebut terdapat perawi yang bernama Zafir bin Sulaiman al-Quhastani yang dikritik kredibilitinya.
Menurut Ibn ‘Adi, Zafir bin Sulaiman al-Quhastani adalah perawi yang daif. Secara umumnya, apa yang diriwayatkan oleh beliau tidak memiliki sandaran dan jika hadis Zafir diriwayatkan, maka ulama akan menyebutkan bersama kedaifannya.
Oleh kerana persoalan yang diajukan adalah berkaitan pengamalan, perbincangan artikel ini akan memfokuskan kepada isu pengamalan dengan hadis daif melibatkan hadis ‘melihat wajah kedua ibu bapa adalah ibadah’.
Dalam berinteraksi dengan hadis daif ini, Imam al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’ menukilkan bahawa Imam Ibn al-Salah yang mengharuskan periwayatan hadis daif dengan kebarangkalian terkandung kebenaran dalam maknanya.
Sejurus selepas beliau menyebutkan tentang tidak boleh meriwayatkan hadis palsu melainkan dijelaskan bersama kepalsuannya.
Berbeza dengan hadis-hadis daif yang mempunyai kebarangkalian kebenarannya pada makna.
Bahkan, Imam al-Nawawi menyatakan hadis daif boleh diamalkan jika memenuhi syarat-syarat berikut:
– Hadis daif tersebut tidak palsu.
– Tidak berkaitan hukum hakam.
– Boleh diamalkan dalam hal fada’il (kelebihan), targhib (galakan) dan tarhib (ancaman).
Oleh itu, dapat difahami bahawa walaupun hadis ini daif, tetapi ia boleh diamalkan dalam hal yang melibatkan kelebihan mendapatkan pahala.
Hal ini kerana, ia termasuk dalam kelebihan beramal, bahkan apabila seseorang melihat sesuatu ciptaan Allah SWT dengan disulami perasaan kagum dengan keagungan dan kekuasaan Allah SWT, dengan izin Allah SWT dia akan beroleh pahala.
Lebih-lebih lagi jika ia disusuli dengan doa dan pujian ke hadrat Allah SWT.
Kesimpulan, hadis ‘merenung wajah bapa mendapat ganjaran pahala’ merupakan hadis daif.
Meskipun begitu, beramal dengan hadis daif dalam perkara fada’il (kelebihan) adalah dibolehkan oleh para ulama dengan syarat hadis tersebut bukan syadid al-da’f(daif berat).
Seseorang akan mendapat pahala jika melihat sesuatu ciptaan Allah SWT dengan perasaan kagum terhadap keagungan dan kekuasaan Allah SWT, apatah lagi sekiranya dia turut berdoa dan memuji ke hadrat Allah SWT.