fbpx

Penerima tauliah ditapis ketat elak masjid dipolitikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (kanan) menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Proses mendapatkan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perak yang perlu mengambil masa dengan tempoh kira-kira setahun adalah munasabah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini memandangkan pengajaran agama merupakan tugas penting serta berat kerana melibatkan soal akidah dan hukum fikah.

“Pihak Jabatan Mufti Negeri Perak perlu berhati-hati dalam menilai calon-calon pemegang tauliah yang benar-benar berkelayakan untuk diberi tauliah mengajar,” katanya ketika menjawab soalan Husairi Ariffin (PN-Kenering) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ketika menjawab soalan tambahan berkenaan pentauliahan dalam kalangan ahli politik, Saarani berkata, peraturan itu dibuat ialah bagi mengelakkan masjid digunakan untuk tujuan penyebaran pemikiran serta fahaman politik.

“Sebab itu kita tak membenarkan mana-mana orang yang ada jawatan dalam politik diberi tauliah supaya tidak mencampuradukkan kepentingan politik semasa mengajar dalam masjid,” katanya.

Jelasnya, hal itu juga bertujuan mengharmonikan masjid supaya dapat berfungsi seperti sepatutnya, menjadi tempat orang Islam berkumpul serta mengelakkan perselisihan dan perdebatan berasaskan kepentingan politik.

Dalam jawapannya juga, Saarani berkata, setiap calon perlu menduduki ujian bertulis bagi Peperiksaan Tauliah Mengajar Negeri Perak melibatkan tujuh subjek iaitu tauhid, fekah, sirah, hadis, tafsir, aliran pemikiran dan tasawuf) yang hanya diadakan satu kali setahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI