KOTA BHARU – Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan merogol jiran sekampungnya yang merupakan remaja orang kelainan upaya (OKU) kerdil selama dua hari berturut-turut dalam kejadian kira-kira lima bulan lalu.
Tertuduh, M. Pikri Mohamed, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan 1 bulan semasa kejadian dengan mengetahui tentang kecacatan fizikal mangsa.
Perbuatan keji itu dilakukan di sebuah rumah di Selising, Pasir Puteh dekat sini kira-kira pukul 5 petang pada 10 Februari dan pukul 3 petang pada 11 Februari lalu.
M. Pikri didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al Basysyar.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu hadir di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Ogos depan termasuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE