JAKARTA – Sepasang pengantin baharu di Kudus, wilayah Jawa Tengah menjadi perhatian pengguna media sosial kerana melangsungkan pernikahan pada pukul 4 pagi (waktu tempatan), lapor portal berita Wolipop semalam.
Berdasarkan hantaran di platform TikTok yang dimuat naik oleh jurusolek dikenali sebagai Yulia, ini kali pertama dia berkhidmat kepada pelanggan yang bernikah ketika orang ramai sedang nyenyak tidur.
Menurut Yulia, semua pihak yang bertugas bersiap sedia dengan tanggungjawab masing-masing menjelang detik akad nikah pada 14 Jun lalu dan memberikan sepenuh komitmen mereka.
“Suasana majlis akad nikah pukul 4 pagi (waktu tempatan). MUA (jurusolek) datang pukul 1 pagi (waktu tempatan), jurugambar dan juruvideo datang pukul 3 pagi (waktu tempatan). Wakil penghulu datang tepat pukul 4 pagi (waktu tempatan),” tulis keterangan pada hantaran tersebut.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan punca pasangan pengantin mengadakan majlis pernikahan pada waktu seperti itu.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Siapalah yang menetapkan waktu pernikahan itu,” kata seorang netizen.
“Saya bernikah pukul 9 pagi (waktu tempatan) pun mekap dari pukul 3 pagi (waktu tempatan). Apatah lagi pukul 4 pagi,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI