fbpx

Euro 2024: Kane perlu kekal dalam pasukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANE dilihat gagal berada pada tahap terbaik pada kempen Euro kali ini biarpun sudah meledak dua gol setakat ini. - AFP

DORTMUND – Barisan pemain England mempertahankan penyerang mereka, Harry Kane yang dilihat masih gagal memberikan impak positif sehingga ramai mahu kapten The Three Lions itu digugurkan dalam aksi separuh akhir Euro 2024 bertemu Belanda awal pagi esok.

Sebagai rekod, Kane selaku penyerang utama dianggap bergerak sangat perlahan sehingga menjejaskan corak permainan England meskipun sudah menjaringkan dua gol sepanjang kempen bola sepak berprestij di Jerman itu.

Tonggak serba boleh England, Trent Alexander-Arnold percaya barisan kejurulatihan tidak boleh mengambil risiko dengan menukar strategi pada saat akhir kerana pasukan lawan pasti gembira andai Kane digugurkan.

“Jika saya menjadi Virgil van Dijk (kapten Belanda), pastinya benteng pertahanan pasukan itu akan gembira jika Kane digugurkan daripada kesebelasan utama. Bukan Belanda sahaja tetapi mana-mana pemain bakal menarik nafas lega jika tidak perlu bersaing dengan Kane.

“Ini kerana Kane mempunyai keupayaan untuk mengubah perlawanan pada bila-bila masa dan menjadi ancaman utama buat pertahanan lawan. Tidak keterlaluan untuk saya katakan dia memiliki penyudah terbaik yang pernah saya lihat.

“Selain itu, dia juga menawarkan lebih daripada sekadar pemain penyerang kerana bersedia untuk membantu pemain tengah dalam mengawal penguasaan bola dan cukup kreatif mencipta peluang buat rakan sepasukan,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan oleh bek kiri England, Luke Shaw yang percaya Kane merupakan salah seorang pemain Three Lions yang wajar dilabel sebagai berkelas dunia ketika ini.

“Kami menyaksikan kualiti Kane setiap hari pada sesi latihan dan kehadirannya memberikan aura positif buat pemain di atas padang. Dia adalah pemain berkelas dunia dan harap dikekalkan dalam kesebelasan utama nanti,” katanya.

Sementara itu, Shaw yang juga pertahanan Manchester United mendedahkan sudah cergas sepenuhnya daripada kecederaan dan bersedia jika diturunkan selama 90 minit bertemu The Oranje di Stadium Signal Iduna Park. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI