fbpx

Jawi tahan Muhammad Qasim Abdul Karim dari Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki Pakistan dikenali sebagai Muhammad Qasim ditahan Jawi untuk siasatan. - Foto media sosial

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menahan lelaki Pakistan dikenali sebagai Muhammad Qasim Abdul Karim bagi menjalankan siasatan lanjut selepas didakwa mengajar tanpa tauliah di negara ini.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Naim Mokhtar, namun beliau tidak mendedahkan secara terperinci berkenaan penahanan Muhammad Qasim.

“Saya dimaklumkan berkaitan operasi dijalankan Jawi dan apa yang dibawa oleh individu berkenaan dari Pakistan itu memang jelas kata dia bermimpi bertemu Rasulullah dan sebagainya. Itu pun berkait isu akidah.

“Pengajian dan dakyah dibawa oleh Qasim ini memang diperhatikan oleh Jawi khususnya bahagian penguatkuasaan sehinggalah Jawi ambil tindakan untuk memulakan operasi dan tangkapan. Cuma setakat ini saya tak boleh dedahkan sebab siasatan itu masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan 2024 di Masjid Negara yang turut dihadiri oleh Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Prof. Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi.

Ditanya sama ada individu tersebut akan dituduh di mahkamah, Mohd. Na’im berkata, ia bergantung kepada siasatan.

“Bergantung kepada siasatan dilakukan, kuasa mendakwa bergantung pihak Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan. Apa Jawi buat ialah kumpul bukti dan laporan serta serah kepada Ketua Pendakwa Syarie. Beliau yang akan buat keputusan.

“Setakat ini pertuduhan ialah tidak ada tauliah. Dakwaan paling terkini mungkin bawa kesalahan tanpa tauliah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Muhammad Qasim mempunyai pengikutnya berdasarkan operasi tangkapan yang dibuat terhadapnya.

“Kalau ikut masa operasi berjalan, memang ada pengikut. Sebab itu nak pastikan jumlahnya tidak merebak, kita ambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Ujarnya, pihak Jawi juga akan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya lelaki tersebut memuat naik kandungan berkaitan ajarannya di media sosial, namun setakat ini tiada laporan kepada MCMC.

Terdahulu pada Januari 2022 Kosmo! melaporkan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan bertindak tegas terhadap umat Islam di negeri ini yang terlibat dengan ajaran ‘mimpi’ seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Qasim Abdul Karim.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai ajaran yang mendakwa mengetahui peristiwa akhir zaman menerusi mimpi individu tersebut.

Kenyataan JAIS itu selepas media melaporkan sebuah kumpulan yang mula bertapak di negara ini didakwa mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan menerusi mimpinya berkaitan akhir zaman.

Kumpulan dikenali sebagai Gerakan Akhir Zaman (Gaza) yang berasal dari Indonesia itu dipercayai membuat persiapan akhir zaman berdasarkan mimpi Muhammad Qasim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI