PETALING JAYA – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad membuat laporan polis berhubung sebuah skim pelaburan di aplikasi Telegram yang didakwa menyalahgunakan nama dan gambar beliau.
Nik Nazmi dalam hantaran di Twitter memaklumkan, laporan tersebut dibuat oleh wakilnya di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, Rabu minggu lalu.
“Laporan polis tersebut dibuat untuk menafikan penglibatan saya dengan akaun tersebut serta untuk menjaga nama baik saya,” katanya ringkas, sebentar tadi.
Dalam pada itu, Nik Nazmi turut memuat naik laporan polis serta tangkap layar iklan skim pelaburan dikenali sebagai Nazmi Sahabat Invest di kumpulan Telegram. – KOSMO! ONLINE