KLANG – Masalah jalan rosak dan uzur di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Indah di sini, yang digunakan ribuan kenderaan berat setiap hari dijangka selesai pada November depan.
Isu yang dihadapi sejak 17 tahun lalu itu membahayakan pemandu lori dan pengguna kenderaan lain selain dilanda banjir kilat akibat jalan berlubang.
Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK), Ean Yong Hian Wah berkata, projek menaiktaraf dan baik pulih secara menyeluruh itu melibatkan 25 lokasi utama di jalan sepanjang 10.9 kilometer (km).
Jelas beliau, projek fasa pertama yang menelan kos dianggarkan RM30 juta itu dimulakan sejak 17 Mei lalu.
“Kemajuan fizikal projek itu setakat ini sudah mencapai tahap 40 peratus dan dijadualkan siap pada November nanti.
“Kita menyasarkan ia turut akan melibatkan fasa kedua dan ketiga bagi memastikan semua jalan serta fasiliti di PKFZ berada pada tahap terbaik,” katanya ketika ditemui selepas meninjau projek itu, hari ini.
Tambah Hian Wah, projek itu perlu dilakukan berikutan jalan berkenaan tidak dibaik pulih secara menyeluruh sejak PKFZ dibuka kepada umum pada 2007. -KOSMO!ONLINE