fbpx

Pintu pagar balai polis tutup pukul 10 malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pintu pagar balai polis di seluruh negara akan ditutup selepas pukul 10 malam sebagai langkah memperketatkan keselamatan susulan insiden serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil dengan mengimbangi keperluan untuk masyarakat, namun pada masa sama menjaga keselamatan anggota polis.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketatkan prosedur operasi standard bagi semua kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai dan premis utama polis di bawah arahan pentadbiran supaya perbaiki beberapa arahan.

“Arahan pentadbiran perintah tetap Ketua Polis Negara turut memasukkan balai polis ditutup selepas pukul 10 malam. Ia kerana kita kena imbangi balai polis sebagai tempat aduan dan dalam masa sama balai polis juga turut jadi sasaran,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot (GPS – Serian) mengenai langkah memperketatkan keselamatan di balai polis di seluruh negara susulan insiden berdarah di Balai Polis Ulu Tiram.

Dua anggota polis terkorban akibat diserang oleh seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram bukti jelas bahaya tindakan kafir-mengkafir dan mendakwa akidah pihak tertentu tidak sempurna.

Kata beliau, berdasarkan soal siasat, suspek menganggap mereka yang bersolat di masjid kerajaan dan bersekolah di sekolah kerajaan sebagai kafir.

“Penyerang dan adik beradik tidak pergi sekolah sebab sekolah kerajaan kafir. Bila ada kefahaman begitu, dia anggap akidah dia saja sempurna, orang lain kafir. Keadaan ini harus kita bendung. Perbuatan kafir mengkafir sangat berbahaya,” katanya.

Beliau berkata, pasukan keselamatan namun sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dan mengambil langkah-langkah untuk menghadapi ancaman pengganas.

Menurut beliau, pihak polis akan akan sentiasa mengambil langkah dan tindakan sewajarnya bagi memastikan ancaman atau fahaman berbaur pengganas tidak terus tersebar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI